.: Ahlan Wa Sahlan :.

Alhamdulillah, usaha untuk melancarkan semula site Ukhuwwah Pelajar Islam Malaysia di Indonesia (UPIMI) telah berjaya. Semoga dengan wujudnya site ini, akan lebih memudahkan usaha kita menggunakan alternatif ICT untuk berdakwah. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati oleh Allah swt. Buat sahabat-sahabat di Jogjakarta khususnya, dan Indonesia amnya, gunakanlah site ini semaksimal mungkin, dan sekiranya anda mempunyai sebarang cadangan atau komen, bolehlah dikemukan terus kepada administrator site ini..:)

*** UPIMI sangat memerlukan sumbangan infaq dari anda untuk memastikan kelancaran setiap program yang dirancangkan. Bagi yang ingin menderma, anda boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke :

No. Akaun : 9101658799 (Bank Muamalat Indonesia)
Atas Nama : Noor Hayati Binti Sabtu CQ UPIMI

Semoga Allah merahmati dan membalas jasa baik anda dalam membantu UPIMI memartabatkan Islam di kalangan pelajar Malaysia di Jogjakarta ini. ***

Tuesday, August 25, 2009

Ramadan latihan terbaik bentuk Muslim berdisiplin


IBADAT puasa adalah peluang terbaik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian mahupun aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadat puasa dapat diperhatikan dengan memahami fadilat dan hikmah pensyariatan ibadat mulia ini.
Puasa membentuk insan bertakwa. Firman Allah yang bermaksud:

Wahai orang beriman. Kamu semua diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu semua bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)




Makna takwa adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi berpuasa dalam erti kata sebenar termasuk mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat dan tidak berniaga secara haram.

Selama sebulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan bertakwa. Selepas tamat latihan, dia sepatutnya dapat membantu seseorang mengekalkan ketakwaan sepanjang masa.

Orang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para shiddiqin (orang yang benar) dan syuhada (golongan syahid).

‘Amr bin Murrah al-Juhani berkata: “Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Ya Rasulullah. Menurut pendapatmu, aku tergolong dalam golongan mana jika ada bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah , engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa pada Ramadan dan solat tarawih pada malam harinya? Baginda menjawab: Golongan shiddiqin dan syuhada.” (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Puasa juga perisai yang dapat menghalang kita daripada azab api neraka. Menurut Ibn al-’Arabi:

Puasa dikatakan sebagai perisai api neraka kerana puasa mampu menahan diri daripada syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan mungkar disebabkan hawa nafsu). Sedangkan, neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri daripada syahwat ketika kehidupan di dunia, hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji dan janganlah sekali-kali berbuat jahil. Justeru itu, jika seseorang diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak dua kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibadat puasa juga dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan sebelum ini. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah , dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah ).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Khattabi berkata: “Tambahan pula Ramadan, bulan penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman. Jadi, tidak hairanlah jika Allah akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap semua hamba-Nya.

Allah menjanjikan ganjaran pahala amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadat lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali ganda.

Ganjaran pahala untuk ibadat puasa ini ditetapkan oleh Allah tanpa batasan. Dia berhak memberi seberapa banyak ganjaran kepada hamba-Nya menurut kehendak-Nya. Oleh itu, setiap individu perlu merebut peluang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Setiap amal kebaikan Bani Adam pahalanya (ditulis oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ternyata ganjaran pahala daripada Allah tiada tolok bandingnya untuk hamba yang mengerjakan ibadat puasa. Oleh itu, kerjakanlah dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran paling maksimum melaluinya.
(Buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasululah (SAW)



Read more...

Sunday, August 23, 2009

Kisah Si Tukang Gunting


Seorang lelaki datang ke tempat tukang gunting rambut untuk memotong rambut. Si tukang gunting rambut mulai memotong rambut pelanggannya dan mereka terlibat dalam pembicaraan yang mulai menghangat.

Mereka membicarakan tentang banyak hal dan berbagai variasi topik pembicaraan, dan sesaat topik pembicaraan beralih tentang TUHAN.

Si tukang gunting rambut berkata,”Saya tidak percaya yang Tuhan itu ada”.

Kenapa kamu berkata begitu ?” tanya pelanggannya.




Baiklah, cuba encik perhatikan di depan sana, di jalanan …. untuk menyedari bahawa Tuhan itu tidak ada. Katakan kepadaku, jika Tuhan itu ada, adakah yang sakit? Adakah kanak-kanak akan terbiar? Adakah yang hidupnya susah?

Jika Tuhan ada, tidak akan ada orang yang sakit ataupun dalam kesusahan. Saya tidak dapat membayangkan Tuhan Yang Maha Penyayang akan membiarkan ini semua terjadi”.
Lelaki tersebut diam untuk berpikir sejenak, tapi tidak membalas apa yang dikatakan si tukang cukur tadi, karena dia tidak ingin terlibat dalam perdebatan yang lebih panjang.

Si tukang gunting rambut pun menyelesaikan pekerjaannya dan pelanggannya pergi meninggalkan tempat si tukang gunting rambut.

Beberapa saat setelah dia meninggalkan ruangan itu dia melihat ada orang di jalan dengan rambut yang panjang, berombak kasar, kotor dan tidak terurus, tidak pernah dicukur.

Lelaki itu balik ke tempat tukang gunting rambutnya tadi dan berkata, “Kamu tahu, sebenarnya di dunia ini TIDAK ADA TUKANG GUNTING RAMBUT..!

Si tukang gunting rambut pun apa lagi, dia bertanya, “Macam mana pula boleh jadi begitu? Saya tukang gunting rambut dan saya ada di sini. Dan baru tadi saya gunting rambut kamu!

Tidak!” elak lelaki tersebut. “Tukang gunting rambut itu TIDAK ADA! Sebab jika tukang gunting rambut itu ada, tidak akan ada orang dengan rambut panjang yang kotor dan tidah terurus seperti orang yang di luar sana,” dia menambah.

Ah tidak, tapi tukang gunting rambut itu tetap ada!”, sanggah si tukang gunting rambut. “Apa yang kamu lihat itu adalah SALAH MEREKA SENDIRI, kenapa mereka tidak datang kepada saya untuk menggunting dan merapikan rambutnya?” jawab si tukang gunting rambut membela diri.

Tepat sekali, SAYA SETUJU!” kata si lelaki yang bijaksana. “Itulah point utamanya! Sama dengan Tuhan. Sebenarnya TUHAN ITU ADA ! Tapi apa yang terjadi sekarang ini?
Mengapa orang-orang TIDAK MAHU DATANG kepada-NYA, dan TIDAK MAHU mencari-NYA..? Oleh kerana itu banyak yang sakit dan tertimpa kesusahan di dunia ini.”



Read more...

Saturday, August 22, 2009

Memperingat 40 Tahun Kebakaran Masjid Al-Aqsa (21 Ogos 1969)



Adakah Masjid al-Aqsa pernah terbakar? Barangkali ramai lagi yang akan bertanya soalan yang sama. Di negara kita ini, gerak kerja dan usaha untuk menyedarkan umat Islam di Malaysia berhubung kesucian Masjid al-Aqsa dan kepentingan kota al-Quds masih agak 'perlahan' berbanding negara-negara dunia Islam yang lain. Justeru, siri penghinaan dan penodaan terhadap kesucian al-Aqsa al-Mubarak kurang mendapat perhatian berbanding isu-isu lain yang lebih sensasi.



Cuba kita bayangkan sekiranya berlaku penjajahan di negara kita, lalu Masjid Negara atau Masjid Jamek secara tiba-tiba diserang dan dibakar! Adakah kita akan hanya melihat dan berpeluk tubuh? Tidak! Sudah tentu kita akan mempertahankannya dengan darah dan nyawa kita. Masjid adalah lambang maruah umat Islam, di mana di situlah mereka memperdengarkan laungan azan dan umat akan menyahutnya dengan mendirikan solat berjemaah. Ia sebagai simbol kesatuan dan kekuatan umat Islam. Apabila masjid mereka diceroboh dan dihina, maka maruah mereka juga telah diinjak dan dipijak-pijak. Namun, apakah sama nilainya Masjid Negara, Masjid Jamek K.Lumpur, Masjid Putrajaya, Masjid Shah Alam, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid as-Syakirin KLCC atau mana-mana sahaja masjid di negara ini malah di atas muka bumi ini jika hendak dibandingkan dengan kemuliaan dan kesucian Masjidil-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa?

Kesucian Masjid al-Aqsa sudah jelas melalui surah al-Isra', ayat 1. Ianya juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis yang sahih: "Janganlah mempersiapkan diri untuk bermusafir melainkan ke tiga buah masjid, Masjid al-Haram, Masjid Rasul dan Masjid al-aqsa."

Sekiranya masjid-masjid di negara ini sanggup untuk kita pertahankan kehormatannya, maka sudah tentu ketiga-tiga masjid yang dinyatakan dalam hadis tersebut lebih utama lagi kedudukannya. Kita tidak dapat membayangkan sekiranya Masjidil-Haram ditakluk dan dikotori. Kita juga tidak rela Masjid Nabawi dicerobohi dan dinajisi. Maka atas dasar apakah kita berdiam diri selama lebih 41 tahun penaklukan kota al-Quds pada 7 Jun 1967 yang membawa kepada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan lawatan kontroversi Ariel Sharon memasuki dataran Masjid al-Aqsa pada 28 Sept 2000 dengan 600 tentera siap bersenjata dan lebih 3000 orang Yahudi untuk mengelilingi tempat suci itu. Kejadian tersebut meningkatkan kemarahan umum sehingga berlaku Intifadhah (kebangkitan) rakyat Palestin yang sehingga ke hari ini api perjuangan dan penentangan mereka masih belum dapat dipadamkan. Rakyat Palestin sudah cukup terseksa dengan pembunuhan dan kekejaman zionis saban hari. Kematian sudah menjadi perkara biasa di bumi jihad itu. Akan tetapi, mengapakah Intifadhah meledak pada saat itu? Jawapannya kerana kesucian Masjid al-Aqsa telah dinodai oleh tapak kaki Sharon yang mana merupakan Pemimpin Parti Likud yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel , malah dia juga adalah watak utama dalam peristiwa berdarah Sabra dan Shatila (1982).

Begitulah kemuliaan dan keberkatan Masjid al-Aqsa, rakyat Palestin tidak boleh bertolak ansur lagi. Maka pada bulan ini, kita memperingati peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa dan hendaklah kita menanamkan rasa cinta dan semangat untuk membebaskan Masjid suci kiblat pertama umat ini.

Tanggal 21 Ogos 1969 adalah salah satu tarikh hitam bagi umat Islam. Kerana pada tarikh ini kira-kira 40 tahun yang lalu, maruah umat ini telah tercalar dengan satu penghinaan. Seorang pelampau Yahudi bernama Micheal Denise Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid al-Aqsa untuk membakar hangus lalu meruntuhkannya. Kejadian itu dianggap sebagai jenayah musuh yang paling menyakitkan bagi umat Islam. Keperitannya masih dirasakan sehingga ke hari ini. Rohan tidak bersendirian dalam jenayahnya itu. Dia mendapat sokongan dan koordinasi dari Rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa dihapuskan bagi memudahkan mereka membina Haikal Sulaiman di atas dataran suci itu.

Dalam peristiwa tersebut, sebahagian besar masjid yang berkah itu mengalami kemusnahan termasuklah peralatan dalaman, dindingnya, Mimbar Salahuddin al-Ayyubi, Mihrab Zakaria, Masjid Umar bin al-Khattab, dan sebahagian serambi. Kemusnahan tersebut melebihi satu pertiga kawasan bangunan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada keluasan asal 4400 meter persegi. Malah bahagian atap masjid juga roboh menyembah bumi dan begitu juga dua tiang utama serta lengkungan yang menanggung kubah masjid. Tingkap-tingkap yang indah berwarna-warni serta hiasan ayat-ayat al-Quran turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Micheal Rohan ketika ditangkap telah berkata secara berterus-terang bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kewajipan agama sebagaimana yang disebut dalam kitab Torah di sisi mereka. Dia juga mengaku telah berjaya dalam misinya yang menurutnya adalah merupakan perintah dari tuhan.

Demikianlah, sekiranya ektremis Yahudi ini meyakini kerja-kerja jenayah itu adalah perintah tuhannya, maka adakah umat Islam tidak menganggap tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda seseorang hamba itu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?

[Oleh Imran Al-Malizi, wakil Institut Al-Quds Antarabangsa di Malaysia]

Read more...

Friday, August 21, 2009

Ramadhan Tetamu Mulia




Oleh NAZMI AIDARUS

JIKA seorang teman yang anda kasihi dan menghubungi anda menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?

Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut.

Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?

Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman?


Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah . Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.

Itulah sifatnya tetamu mulia ini, kerana itu amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya, menyambutnya dengan cara terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah daripada kunjungannya dan apabila ia pulang, jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah .

Oleh kerana itulah para ulama terdahulu menghargai tetamu ini dan diceritakan bahawa mereka memohon Allah melanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadan sepanjang enam bulan sebelumnya, apabila ia berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdoa agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadan sepanjang beberapa bulan selepas itu.

Malangnya, sebahagian umat Islam menyambutnya dengan pelbagai kegiatan yang menyalahi hukum Allah SWT. Ada yang menyambutnya dengan berpesta, nyanyian, tarian dan muzik.

Sebahagian lagi menyediakan filem-filem yang menyeronokkan sepanjang malam bulan Ramadan yang dipenuhi dengan adegan yang memenuhi tuntutan nafsu.

Ramai yang menyambutnya dengan mengunjungi pasar-pasar, berasak-asak dengan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman; seolah-olah bulan tersebut adalah bulan makan-minum, tidur pada waktu siang, berjaga pada malamnya dengan aneka hiburan.

Cara yang dianjurkan oleh Islam secara ringkas adalah sebagaimana berikut:

1. Berdoa semoga Allah melanjutkan usia kita dan dapat menyambut bulan Ramadan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolongan-agar dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya.

2. Membersih diri dan bersuci, iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat daripada segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu. Taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa. Bahkan ia memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t.

3. Menyediakan diri bagi menyambut kedatangan Ramadan dengan menunaikan ibadat puasa sunat pada bulan Syaaban serta amalan kebaikan lain. Ia merupakan bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah s.w.t.

4. Antara perkara terpenting ialah mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunah Nabi SAW serta hukum hakam puasa sebelum menghampiri bulan tersebut.

5. Agenda seterusnya ialah menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan program yang memenuhi waktu yang amat berharga bagi diri kita, keluarga, rakan-rakan dengan membaca al-Quran, tadarus, qiamullail, menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka, mengerjakan umrah, iktikaf, bersedekah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, dan seterusnya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu namanya ‘al-Rayyan’. Orang yang berpuasa masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya. (riwayat Bukhari)

Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati kata-kata ini:

Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.
Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.

Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?

Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.

Ya Allah , sampaikan kami kepada bulan Ramadan, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.



Read more...

Wednesday, August 19, 2009

Monolog Ramadhan



Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah s.w.t telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi. "

Imam Ahmad dan Al-nasai daripada Abu Hurairah

14 Ogos 2009, 11.53 p.m.
Sudah beberapa hari aku di Jogja. Rindu keluarga di kampong. Bila emak call tadi, rasa gembira sangat tapi yang tak bestnya mak asyik membebel pasal ganti puasa. Haisyh, memang emak-emak sedunia macam tu agaknya tapi aku tetap sayang mak. Puasa bulan Ramadhan kan lagi seminggu, isnin nantilah ganti puasa. Aku tinggal 2 hari lagi, buat apa nak tergesa-gesa. Mesti sempat.



17 Ogos 2009 5.30 p.m.
Geramnya, lagi beberapa minit nak buka puasa, sekali bendera Jepun berkibar. Menyesal tak ikut cakap mak. Betullah bahawa setiap kata yang lahir dari mulut seorang ibu itu adalah doa. Kenapalah mak cakap tak sempat haritu, kalau mak cakap sempatkan bagus, opps, salahkan mak aku pula. Adoi, macam mana ni? Malunya nak beritahu mak untuk minta tolong bayarkan fidyah nanti. Sungguh-sungguh aku yakinkan mak, aku pasti sempat. Aku terlupa bahawa manusia hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan segala-galanya, dan yang pasti itulah rencana yang terbaik.

Teringat kisah dalam surah Al-kahfi ayat 23-24 yang menceritak tentang kisah Nabi Muhammad yang ditegur oleh Allah kerana beginda terlupa untuk menyebut perkataan Insya Allah (jika Allah mengkehendaki). Time tu, ada beberapa orang Quraisy datang menemui baginda untuk bertanyakan tentang kisah-kisah dalam surah al-kahfi iaitu tentang roh, ashabul kahfi serta kisah Zulqarnain, lalu baginda menyuruh mereka untuk datang keesokannya. Tapi rupanya, wahyu tidak turun juga pada keesokannya kerana baginda terlupa untuk mengatakan Insya Allah. Renungan untuk aku, insan yang sememangnya lagi hina daripada Rasulullah.

21 Ogos 2009 10.47 p.m.
Esok bulan Ramadhan akan menjengah umat-umat Islam seluruh dunia. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Lepas tarawih tadi kawan-kawan aku bergaduh tentang masalah niat. Hurm, aku ada dengar ceramah daripada Dr Danial Zainal Abidin, beliau cakap mengikut mazhab maliki, pada malam pertama kita boleh niat puasa untuk sebulan dan tidak mengapa kalau kita terlupa untuk berniat pada setiap malamnya. Kerana bulan Ramadhan itu seperti pakej, iaitu selama sebulan, bila kita berniat untuk puasa bulan Ramadhan, automatik kita sudah berniat untuk sebulan. Namum bagi Imam syafie, niat perlu dilakukan pada setiap malam. Justeru ada ulama yang menggabungkan kedua-duanya, mlm pertama ikut mazhab maliki dan setiap malam berniat puasa. Niat tu senang tapi bagaimana nak pastikan puasa kita diterima Allah ya?

22 Ogos 2009 6.30 p.m.
Senaknya perut. Banyak aku makan tadi. Kurma, kuih-muih yang lebih dari 5 macam jenis, lauk pauk, air yang pelbagai warna. Rasa tak terdaya mahu lakukan solat terawih. Nak kata kena hasut dengan syaitan, mereka kena gari, siapa pula yang hasut aku nih? Ah, lemahnya iman… tewas dengan nafsu sendiri.

Teringat pesanan daripada seorang teman. Adakah puasa kita itu berkualiti ataupun hanyalah puasa yang mendatar, tanpa kualiti. Puasa itu berbeza dengan ibadah yang lain kerana puasa itu adalah meninggalkan, bukan melakukan. Aku tak paham waktu mula-mula teman aku cerita. Sekarang baru aku paham. Ada 2 rukun puasa iaitu niat dan meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa. Malah kita juga perlu meninggalkan perkara-perkara yang keji iaitu berbohong, mengumpat, marah, melihat benda-benda yang mendatangkan syahwat serta membuang masa seperti bermain terup, catur, merempit dan melepak.

Ada hadis riwayat sahih Muslim yang mengatakan, Allah tidak berhajat pada puasa seseorang itu apabila dia tidak meninggalkan cakap dusta dan perbuatannya. Nauzubillah, semoga puasa dan amal ibadah aku yang lain diterima. Jangan makan ikut nafsu dan jangan lupa bertadarus.… jangan bulan ramadhan bertadarus, lepas itu lupa terus


Read more...

Sunday, August 16, 2009

Marhaban Yaa Ramadhan...



Peta Lokasi ke Gelanggang Pemuda




Read more...

Saturday, August 15, 2009

Kurma...owh...Kurma...



"Siapa pun yang pagi-pagi makan tujuh buah kurma ‘Ajwah, maka pada hari itu dia tidak mudah keracunan dan terserang penyakit.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Apakah yang terbayang dibenak kita menjelang berbuka puasa ? Es campur, jus, kolak, kuih yang manis-manis atau beragam makanan yang menggiurkan lainnya !!! Tidak bisa dimungkiri, sederet minuman dan penganan itulah yang muncul ketika kita berniat membatalkan puasa. Memang, buka puasa dengan beragam minuman dan makanan seperti itu hal yang lumrah dan wajar. Namun, bukankah minuman dan penganan tersebut memiliki efek samping yang kurang bagus disaat tubuh istirehat dari makan dan minum selama seharian penuh ???

Untuk menghindari hal negatif itulah, Rasullah s.a.w, jauh-jauh hari memberi saran yang sangat bermanfaat bagi yang sedang berpuasa. Sabdanya, “Apabila salah seorang diantara kamu puasa, hendaklah berbuka dengan kurma , bila tidak ada hendaklah dengan berbuka dengan air, sesungguhnya air itu bersih.” (H.R. Ahmad dan Tarmidzi). Bahkan, dalam keadaan tidak berpuasa pun (diluar bulan suci Ramadhan), buah kurma memiliki faedah yang sangat besar untuk kesihatan tubuh kita.


Kurma adalah sejenis tumbuhan palem (palma) atau dalam bahasa latinnya lebih dikenal dengan phonex dactylifer yang berbuah dan boleh dimakan, baik dalam keadaan masak maupun masih mentah. Berdasarkan penelitian para ilmuwan, kurma kaya dengan protein, serat gula, vitamin A dan C serta mineral seperti zat besi, kalsium, sodium dan potasium. Kandungan protein didalam kurma sebesar 1.8 – 2.0 persen, serat sebanyak 2.0 – 4.0 persen dan gula sebesar 50 – 70 persen glukosa.

Dengan kandung gula seperti itu, kurma mampu memberi tambahan tenaga bagi orang yang berbuka puasa hingga ia akan merasa segar dan bertenaga uuntuk beribadah tanpa rasa letih ataupun mengantuk. Biasanya, bagi yang merasa letih dan mengantuk disaat melaksanakan solat tarawih disebabkan kerana makanan yang dikonsumsi kebanyakan mengandung karbohidrat yang tidak menyediakan tenaga instant (tambahan). Oleh karena itu, untuk menghindari hal tersebut, buah kurma adalah jawabannya.
Kenapa ? Sebab, sebagaimana penelitian yang dilakukan Badan Kesihatan Dunia (WHO), zat gula yang ada didalam kurma itu berbeda dengan gula pada buah-buahan lain seperti gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandung sukrosa dimana zat itu langsung diserap kedalam tubuh. Hal ini membuat gula itu harus dipecahkab terlebih dahulu oleh enzim sebelum berubah menjadi glukosa. Sebaliknya, kurma tidak membutuhkan proses demikian.



Sementara potasium didalam kurma berguna untuk mengatasi masalah stress, sembelit dan lemah otot. Tidak hanya itu, berkat zat besi dan kalsium yang ada pada kurma, orang bakal terhindar dari penyakit yang beresiko tinggi seperti penyakit jantung dan kencing manis.

Bila dimakan oleh anak-anak, maka kurma memberi khasiat untk mencerdaskan otak mereka. Cukup beralasan, bila Rasullah s.a.w menganjurkan bagi para isteri yang mengandung untuk makan buah kurma. Kata Nabi, “Berilah makan buah kurma kepda isteri-isteri kamu yang sedang hamil, kerana isteri-isteri kamu yang sedang hamil. Kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang akan lahir kelak akan menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas. Sesungguhnya makanan Siti Maryam takkala melahirkan Nabi Isa a.s adalah buah kurma. Sekiranya, Allah s.w.t., menjadikan suatu buah yang lebih baik dari pada buah kurma, maka Allah telah memberi makan buah itu kepada Siti Maryam.” (H.R. Bukhari)

Adalah Q.S. Maryam, ayat 25-26 perihal Siti Maryam yang disinggung Nabi diatas. Firman Allah, “Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, maka pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu.

Waktu itu, dikisahkan Siti Maryam hendak melahirkan Nabi Isa a.s dibawah pohon kurma. Lalu Malaikat Jibril datang dan menyuruh Maryam menggoncangkan pohon kurma. Buah kurma yang matang itu berjatuhan. Dan Maryam pun memakan buah kurma yang telah masak tersebut. Atas izin Allah s.w.t dan kebesaran- NYA, proses persalinan atau kelahiran Nabi Isa a.s menjadi mudah.

Berdasarkan hadis Rasullah dan firman Allah diataslah, kurma sangat berkhasiat bagi wanita yang sedang hamil dan nifas (setelah melahirkan). Hal ini diperteguh olah para ahli kedokteran bahwa unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang sangat berguna untuk membentuk dan menambah kandungan air susu ibu. Lebih dari itu, anak-anak balita pun dapat mengambil manfaat dari buah yang biasa tumbuh didaerah Arab ini. Dengan kurma, pertumbuhan anak-anak dan sumsum tulangnya akan berkembang dengan baik.

Wajar bila Rasullah s.a.w memberikan tips untuk makan tujuh butir kurma setiap harinya supaya terhindar dari segal penyakit fisik. Mengapa Nabi menyebut kurma ‘Ajwah didalam sabdanya..

Berdasarkan asbabul wurud (sebab-sebab turunnya suatu hadist) disebutkan dulu Nabi Muhammad s.a.w kalau berbuka puasa yang dimakan adalah kurma. Kurma yang dimakan itu diberi nama ‘ajwah (ajua). Ceritanya, pada saat itu ajua adalah nama anak Saaman Al-farisi, orang nasrani yang akhirnya masuk Islam. Dia mewakafkan lahan kurmanya untuk perjuanan Islam. Untuk mengenang jasa-jasanya itu, akhirnya Rasul menamakan kurma yang dimakannya saat berbuka puasa sebagai kurma ajua. Bahkan, dalam hadist yang lain Beliau sendiri sempat menyatakan, “Rumah yang tidak ada kurmanya seperti rumah yang tidak ada makanan.” Perkataan Rasullah tersebut menunjukan betapa pentingnya khasiat yang dapat diambil dari buah kurma. Sehingga, setiap keluarga mesti menyimpan kurma sebagai penganan wajib dirumahnya. Oleh arena itu, kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dibulan puasa saja, tapi juga menjadikan kurma makanan sehari-hari. Entah itu dimakan pagi hari sebagaimana yang pernah dianjurkan Nabi diatas atau sebagai makanan ringan ketika sedang santai.

Dengan cara begini, kita tidak hanya mendapatkan kesihatan tubuh tapi juga memperoleh pahala kerana menjalankan sunnah Rasullah s.a.w. Wallahu’alam bil shawab.
( Majalah Hidayah, MUAZ )


Read more...

.: I Tentang KAMI I :.

UPIMI, UKHUWWAH PELAJAR ISLAM MALAYSIA DI INDONESIA MERUPAKAN BADAN KEROHANIAN MUSLIM BAGI PERTUBUHAN KEBANGSAAN PELAJAR MALAYSIA DI INDONESIA CAWANGAN YOGYAKARTA (PKPMI-CY). SEBARANG PERTANYAAN, CADANGAN, KRITIK DAN SARAN AMAT KAMI ALU-ALUKAN. SEMOGA KEHADIRAN BLOG INI AKAN MEMBERI MANFAAT UNTUK SEMUA MUSLIM MALAYSIA DI YOGYAKARTA..
Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP