.: Ahlan Wa Sahlan :.

Alhamdulillah, usaha untuk melancarkan semula site Ukhuwwah Pelajar Islam Malaysia di Indonesia (UPIMI) telah berjaya. Semoga dengan wujudnya site ini, akan lebih memudahkan usaha kita menggunakan alternatif ICT untuk berdakwah. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati oleh Allah swt. Buat sahabat-sahabat di Jogjakarta khususnya, dan Indonesia amnya, gunakanlah site ini semaksimal mungkin, dan sekiranya anda mempunyai sebarang cadangan atau komen, bolehlah dikemukan terus kepada administrator site ini..:)

*** UPIMI sangat memerlukan sumbangan infaq dari anda untuk memastikan kelancaran setiap program yang dirancangkan. Bagi yang ingin menderma, anda boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke :

No. Akaun : 9101658799 (Bank Muamalat Indonesia)
Atas Nama : Noor Hayati Binti Sabtu CQ UPIMI

Semoga Allah merahmati dan membalas jasa baik anda dalam membantu UPIMI memartabatkan Islam di kalangan pelajar Malaysia di Jogjakarta ini. ***

Friday, April 23, 2010

BANGKAI MALAM DAN HIMAR SIANG

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah bersabda kepada ku:


إِنَّ اللهَ يَبْغُضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ صَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ جِيْفَةٍ بِاللَّيْلِ حِمَارٍ بِالنَّهَارِ عَالِمٍ بِأَمْرِ الدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ الْآخِرَةِ


“ Sesungguhnya Allah benci setiap manusia yang kasar (suara dan tingkah laku), kuat makan, bising semasa di pasar, tidak bangun solat malam seperti bangkai, berkerja keras pada waktu siang seperti himar, amat mengetahui tentang ilmu dunia dan jahil tentang akhirat.”


Hadis riwayat Ibnu Hibban (72), Baihaqi (Sunan) dan Asbahani. Syeikh Syuaib berkata: Sanad hadis ini kuat.


Imam Munziri meletakkan hadis di bawah tajuk “MEMBERI PERINGATAN BURUK KEPADA MANUSIA YANG TIDUR SAMPAI SUBUH DAN TIDAK BANGUN BERQIAMULLAIL”


Dr Yusuf Qardawi menerangkan makna “tidak bangun tahajud seumpama bangkai”:

“ Manusia ini diumpamakan bangkai pada waktu malam kerana tidur adalah salah satu bentuk mati.”


SPECIAL TIME FOR HIS SLAVES


Oleh itu Allah benci manusia yang tidur pada waktu malam tanpa bangun untuk bertahajud dan bermunajat kepadanya. Sedangkan Allah khususkan di penghujong malam untuk hamba-hambanya mengadu dan bermunajat kepadanya. Rasulullah saw bersabda:


ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى سماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر قيقول : من يدعوني فأستجيب له؟ ومن يسألني فأعطيه؟ ومن يستغفرني فأغفر له


“ Allah swt turun pada setiap malam ke langit dunia ketika sepertiga malam yang terakhir. Tuhan berkata “ Siapa yang berdoa akan ku perkenankan doanya. Siapa yang meminta kepadaku akan ku berikannya. Sesiapa yang beristighfar maka akan ku ampunkannya”`


Hadis sahih Bukhari dan Muslim


Bayangkan sahabat2 sekiranya seorang penjenayah berat akan diampunkan sekiranya dia merayu kepada Raja pada pukul 3 pagi pasti dia akan pergi waktu tersebut dan menunggu di pintu istana seawal mungkin. Bayanngkan sekiranya Raja menawarkan akan memberi apa sahaja permintaan kita sekiranya kita menghadapnya di awal pagi pasti kita akan menunggu di pintu istana sejak malam lagi. Namun raja segala raja telah memberi tawaran kepada kita pada waktu sebelum subuh tapi kenapa kita masih tidur lagi. Itu kerana kita dikencing oleh syaitan dan diri kita berlumuran dengan dosa.


Kalau kita rasa kita itu sudah baik dan bersih dari dosa (ini adalah penyakit hati) maka anggapla masa ini masa seorang kekasih bertemu dengan kekasihnya. Adakah seorang lelaki akan disayangi oleh kekasihnya sekiranya selalu terlepas dalam temu janjinya. Kalau setiap hari begini pastilah cinta itu sudah berkubur dan hubungannya akan diputuskan.


KENCING SYAITAN


Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang seorang lelaki yang tidak bangun tahajud dan bangun ketika watu sudah subuh. Nabi saw bersabda:


ذاك الرجل بال الشيطان في أذنيه


“ Lelaki itu telah dikencing syaitan di dua telinganya.”



Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Ini yang bangun waktu subuh. Kalau bangun selepas waktu subuh, apa agaknya najis syaitannya yang masuk? Adakah lubang telinga sahaja atau semua lubang?


BELENGGU DOSA


Fudail bin Iyad berkata:


إذا لم تقدر على قيام الليل وصيام النهار فاعلم أنك مكبول كبلتك معصيتك


“ Apabila kamu tidak mampu untuk bangun tahajud waktu malam dan tidak mampu puasa sunat pada waktu siang maka ketahuilah kamu sudah dibelenggu oleh maksiatmu.”


Oleh itu kita perlu bertaubat sentiasa dan menghindari dari maksiat. Lidah yang penuh maksiat tidak layak untuk bermunajat pada waktu malam. Mata yang penuh maksiat tidak layak untuk berjagauntuk tahajud dan menangis. Kaki dan tangan penuh maksiat tidak mampu untuk digerakkan pada waktu malam untuk bangun bertahajud. Yang penting hati sentiasa ingat benda yang haram tidak layak untuk berjaga dengan segarnya pada waktu malam untuk tahajud.


PASANGAN YANG BERTHAJJUD


Selain dari itu kita hendaklah mencari teman yang baik atau pasangan yang baik agar dapat mengejutkan kita waktu malam. Nabi saw bersabda:


إذا أيقظ الرجل أهله من الليل فصليا ركعتين جميعا كتبا في الذاكرين والذاكرين


“ Apabila seorang lelaki bangun dan mengejut isterinya pada waktu malam. Lalu mereka solat dua rakaat bersama-sama, kedua2 mereka ditulis dikalangan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.”


Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie, Hakim juga riwayat dengan makna hadis yang sama dengan sanad di tashihkan oleh Imam Zahabi.

Oleh itu carilah teman serumah yang mampu mengejutkan kita bertahajjud. Terutamanya orang yang tidak mampu tahajud dan ingin tahajud. Begitu juga hendaklah cari pasangan yang boleh membantu kita bertahajud. Namun kita kena lihat kepad keadaan teman serumah tadi. Kalau subuh pun masih lambat atau luar waktu kita kena ushakan subuh dahulu barulah tahajud.


SUBUH PUN MASIH LEWAT


Bila sebut pasal subuh awal ni, amat duka cita kerana masih terdapat ramai yang kelewatan subuh. Lebih sedih kerana terjadi pada ramai mahasiswa agama atau orang yang menulis dan bercakap pasal agama dan menganjurkan program agama. Ini adalah termasuk dalam perumpamaan Nabi berkenaan dengan lilin. Menyuruh manusia lain buat baik namun melupai diri. Boleh rujuk dalam artikel ini. Ibnu Mas’ud berkata:


إذا فقدنا الرجل في صلاة الصبح وصلاة العشاء في جماعة أسأنا به الظن


“Apabila kami tidak bertemu seorang lelaki ketika solat subuh atau isya berjemaah di masjid , kami akan bersangka buruk kepadannya.”


TIPU DAYA SYAITAN


Janganlah kita bagi alasan kita sibuk buat program, mesyuarat , mengaji, mengajar, study, berdakwah dan lain-lain untuk tidak tahajud dan bangun lewat. Nabi adalah sebaik manusia sebagai pemimpin, pendakwah, Pelajar (mengambil wahyu dari jibril), suami (9 isteri)tetapi Nabi saw tidak pernah meninggalkan tahajud. Aisyah berkata:


أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقوم من الليل حتى تتفطر قدماه


“Sesungguhnya Rasulullah saw bangun bertahajjud pada waktu malam sehingga pecah-pecah kakinya.”


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


Para khalifah dan Gabenor dikalangan sahabat Nabi saw semuanya memintangkan tahajud sehingga Umar berkata: “Kalau aku tidur waktu malam akan sia-siala hak Allah.” Salahuddin al-Ayyubi juga amat mementingkan tahajudnya kepada tenteranya sedangkan kita tahu tidak ada kerja lebih teruk dari peperangan. Bila mana beliau melihat ada khemah tentera tidak tahajud, beliau berkata:


فإن أوتينا فمن قبل هولاء نؤتى


“Sekiranya kita didatangi musuh maka musuh akan datang dari pihak mereka (kerena kelemahan mereka) . “ atau pun “ Sekiranya kita dikalahkan maka sebab merekalah kita dikalahkan.


Adakah tanggung jawab kita lebih besar dari Nabi sehingga mana kita jadikan kerja dan tanggung jawab sebagai alasan untuk tidak bertahajud? Adakah kita tidak berdosa seperti Nabi? Kita lebih patut bangun menangis dan bertahajud kerna kita insan yang banyak dosa. Ini semua adalah talbis iblis (tipu daya syaitan) kepada pendakwah dan perkerja2 Islam.


MAHAR BIDADARI


Seorang salafus soleh bermimpi berjumpa dengan bidadari dalam mimpinya. Bidadari berkata “ Pinanglah aku dan berilah maharnya kepada tuhan.” Beliau bertanya “Apa maharnya?” Bidadari menjawab “ Lama tahajjud.”


Suatu hari Abu Sulaiman ad-Darani tidur pada waktu malam. Dalam tidurnya, beliau melihat bidadari mengejutnya dan berkata “ Adakah engkau tidur (tidak tahajud) hai Abu Sulaiman sedangkan aku menantimu di sebalim tirai sejak 500 tahun.”


KESIMPULAN


TAHAJUD BUKAN SEGALANYA TETAPI KALAU TIDAK MAMPU TAHAJUD MAKA ADA YANG TIDAK KENA PADA HUBUNGAN HAMBA DENGA TUHAN SEMESTA. KADANG2 KITA RASA KITA DAH TAK BUAT DOSA TETAPI TAK MAMPU UNTUK BANGUN. INI SAMAADA KITA PERLU MENGAJI LAGI UNTUK MENGETAHUI DOSA YANG ADA PELBAGAI BENTUK ATAU PUN SEBAB HATI KITA BERASA SUDAH SEMPURNA DAN INILAH YANG PALING BAHAYA. ORANG YANG RASA SELAMAT DARI NERAKA ADALAH ORANG YANG RUGI SEPERTI DALAM SURAH AL-A’RAF AYAT 99.


“OH TUHAN TERIMA LAH TAUBAT KAMI, JAUHKAN KAMI DARI DOSA DAN LAYAKKAN KAMI UNTUK BERMUNAJATMU DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR DENGAN IKHLAS.”


Rujukan: Al-Muntaqa oleh Qardawi, Lataiful Ma’arif oleh Ibnu Rajab, Sahih Bukhari dan Targhib wat Tarhib oleh Munziri.

http://akhisalman.blogspot.com/2010/04/jangan-jadi-seperti-bangkai-pada-waktu.html

Read more...

Tuesday, April 20, 2010

TOLONG SAMPAIKAN SEDEKAHKU INI KEPADA PELACUR

Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?

Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.


Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.

Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia, Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.

Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar al-Syarif,
Kaherah Mesir

Read more...

Thursday, April 1, 2010

FAHAMI SEBENAR-BENARNYA MENGAPA KITA BERDOA!

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Berdoa bukanlah perkara asing dalam kehidupan kita orang Islam. Setiap hari kita tidak lekang dari berdoa. Bahkan masyarakat kita sangat sebati dengan amalan berdoa. Dalam apa jua acara, seperti majlis perkahwinan, majlis berpindah rumah dan sebagainya, doa menjadi inti daripada acara tersebut. Akan tetapi sejauh manakah kefahaman kita mengenai doa itu? Sejauh manakah penghayatan kita ketika berdoa?

Kita dapati ada segelintir masyarakat kita yang bersikap cuai atau bosan atau tidak bersungguh-sungguh untuk berdoa. Ada di antara mereka merungut apabila pembaca doa membaca doa-doa yang panjang, berkata-kata sedang kedua tangannya menadah ke langit, sambil lewa, tidak mengaminkan doa dan malah ada juga yang langsung tidak mahu berdoa. Doa hanya setakat di bibir atau hanya tangan ditadahkan menyambut doa tetapi fikiran entah ke mana.

Oleh itu eloklah dijelaskan di sini, apakah sebenarnya hakikat doa itu dan kepentingannya bagi seorang hamba serta beberapa perkara berkaitan dengannya.

Doa Itu Ibadat Dan Senjata Orang Mukmin

Doa adalah permintaan atau permohonan seorang hamba kepada Allah Subahanahu wa Ta‘ala dan sebagai jalan untuk menyatakan hajatnya. Hajat seseorang itu terlalu banyak, tidak terkira, lebih-lebih lagi di saat-saat ia susah, menderita ditimpa bencana. Doa itu adalah ibadat kerana ia merupakan penyataan seorang hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan kelemahan dirinya. Ia juga merupakan pengakuan seorang hamba bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala Maha Berkuasa sama ada untuk memakbulkan doanya atau sebaliknya.

Daripada an-Nu‘man bin Basyir beliau berkata:

Maksudnya:

“Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Doa itu ibadat.” Kemudian Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah Ghafir: 60 yang tafsirnya): “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Doa juga merupakan senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الدُّعَاءُ سِ َ لاحُ اْلمُؤْمِ ِ ن وَعِمَادُ الدِّي ِ ن وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْ ِ ض
(رواه الحاكم)

Maksudnya: “Doa itu senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”

(Hadits riwayat al-Hakim)

Doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana doa itu penyataan seorang hamba akan kefakiran, kelemahan serta kehinaannya dan pengakuannya
terhadap kekuatan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

َ
ليْسَ شَيْءٌ َأكْرَمَ عََلى اللهِ تَعَاَلى مِنَ الدُّعَاءِ
(رواه الترمذى)

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu (zikir dan ibadat) yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala daripada doa.”
(Hadits riwayat Tirmidzi)

Allah Murka Kepada Sesiapa Yang Tidak Berdoa

Allah Subhanahu wa Ta‘ala murka kepada sesiapa yang tidak berdoa atau tidak memohon sesuatu kepadaNya. Ini kerana orang yang meninggalkan doa itu dikatakan sebagai sombong, takbur dan tidak memerlukannya. Menurut ath-Thibiy Rahimahullah, bahawa kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu adalah kerana Allah menyukai orang yang memohon kurniaanNya, maka sesiapa yang tidak memohon kepada Allah nescaya Dia membencinya, dan orang yang dibenci itu sudah tentu dimurkai. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ َلمْ يَسَْأ ِ ل اللهَ يَغْضَبْ عََليْهِ
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berkata Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

ِإنَّ َأبْخَ َ ل النَّا ِ س مَنْ بَخِ َ ل ِبالسَّلاِم، وََأعْجَزَ النَّا ِ س مَنْ عَجَزَ عَ ِ ن الدُّعَاءِ
(رواه أبو يعلى)

Maksudnya: “Bahawa sebakhil-bakhil manusia adalah siapa yang bakhil memberi salam, dan selemah-lemah manusia adalah siapa yang lemah (malas) untuk berdoa.”

(Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Janji Allah Memakbulkan Doa

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan dan mendorong hambaNya untuk berdoa dan memohon kepadaNya. Dia telah berjanji untuk memakbulkan permohonan mereka, bahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala malu jika menolak permintaan hambaNya dengan tangan kosong.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Tafsirnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta‘ala Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdoa) mengangkat kedua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa (daripada rahmatNya).”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Tiada seorang yang memohon kepada Allah dengan satu doa melainkan dimakbulkan untuknya, sama ada disegerakan permohonannya itu di dunia, dan sama ada disimpan permohonannya itu di akhirat, dan sama ada diampunkan dia dari dosa-dosanya dengan kadar yang dipohonkan, selagi dia tidak memohon perkara dosa atau memutus silaturrahim atau tergesa-gesa (untuk dimakbulkan doanya).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana tergesa-gesa itu? Baginda bersabda: “Dia berkata: Aku berdoa kepada Tuhanku namun Dia tidak memakbulkan untukku.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, jelas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala pasti akan memakbulkan permohonan orang yang berdoa.

Di dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi Syarah Jami‘e at-Tirmidzi ada disebutkan bahawa pemakbulan doa itu mempunyai waktu yang tertentu, sebagaimana diceritakan bahawa jarak antara doa dengan pemakbulan doa Nabi Musa dan Nabi Harun ‘Alaihimassalam ke atas Fir‘aun, adalah selama empat puluh tahun.

Terkabulnya doa itu pula ada beberapa bentuk di antaranya:

1. Memperolehi apa yang dipohon pada waktunya.

2. Memperolehi apa yang dipohon pada waktu lain kerana terdapat hikmah di sebalik kelewatan atau kelambatannya.

3. Menolak keburukan sebagai ganti permohonannya ataupun diberi kebaikan lain yang mana lebih baik dari yang dipohonnya.

4. Permohonannya disimpan sehingga hari yang lebih diperlukan pahalanya.

5. Pengampunan dosa-dosa sekadar apa yang dipohonkan.

Berdoa Dengan Niat Yang Tulus Ikhlas Dan Jangan Berputus Asa

Kita dilarang berputus asa daripada memohon dan mendapatkan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta pertolonganNya. Ini kerana sikap melahirkan kekecewaan dan putus asa daripada
memohon kepadaNya itu adalah sikap yang tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”
(Surah Yusuf: 87)

Apa yang dituntut ke atas orang yang berdoa itu ialah jangan bosan dalam berdoa. Berdoalah dengan niat yang tulus ikhlas, bersungguh-sungguh dengan menghadirkan jiwa dan yakin bahawa doanya akan dimakbulkan. Ini kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Maksudnya:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dimakbulkan dan kamu ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan doa dari hati yang lalai serta bermain-main (dengan apa yang dipohon atau sibuk dengan urusan selain Allah Ta‘ala).”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

bersambung

Sumber : Mufti Brunei

Read more...

.: I Tentang KAMI I :.

UPIMI, UKHUWWAH PELAJAR ISLAM MALAYSIA DI INDONESIA MERUPAKAN BADAN KEROHANIAN MUSLIM BAGI PERTUBUHAN KEBANGSAAN PELAJAR MALAYSIA DI INDONESIA CAWANGAN YOGYAKARTA (PKPMI-CY). SEBARANG PERTANYAAN, CADANGAN, KRITIK DAN SARAN AMAT KAMI ALU-ALUKAN. SEMOGA KEHADIRAN BLOG INI AKAN MEMBERI MANFAAT UNTUK SEMUA MUSLIM MALAYSIA DI YOGYAKARTA..
Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP